Pages

Photobucket
Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di wakttu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” ( Surah Al-Luqman : 13)

Selasa, 23 November 2010

Islam, Komitmen, Ikhlas, Berkorban. .


Setelah berbulan-bulan aku mengasingkan diri. Membawa diri jauh dari akhwat-akhwat. Aku sedar akan tindakan ku ini, bahawa dengan berjauhan dari sekalian akhwat, aku akan semakin jauh dari tarbiyah. Namun aku terpaksa juga berjauhan dengan mereka. Selepas 3 bulan, aku kembali semula. Dengan azam dan niat yang baru untuk meneruskan perjuangan dakwah ini. Lalu aku ringankan tangan ini untuk menaip sms. “Ukhti, ana telah bersedia untuk halaqah.” Rasa kerinduan terhadap halaqah dan sahabiah menekan jiwa ku, tidak sabar menanti saat itu. Baru ku sedar, jika meninggalkan halaqah, aku akan semakin lemah. Jiwa ku semakin kosong. Jiwaku dahagakan pengisian dari murobiah. Matlamat dan perjuanganku semakin sirna. Aku terkedu sendirian. “Ya Allah ampunilah aku…”.

Kita adalah khalifah

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat ‘Aku ingin menjadikan khalifah di bumi’….” (2:30)

Siapakah khalifah itu jika bukan kita iaitu manusia? Yang berketurunan Adam dan Hawa..

“Sesunggunya tidak Ku jadikan jin dan manusia itu semata-mata untuk beribadah kepada ku.”

Apa yang membezakan manusia dengan binatang adalah akal fikiran. Betapa mulianya manusia Allah memberikan akal fikiran agar kita berfikir mengenai kekuasaan Allah. Agar dengan berfikir, kita tahu bahawa diri kita dan segala yang ada di bumi ini ada yang menciptakan, ada permulaan dan pengakhiran. Tidak akan terjadinya sesuatu tanpa ada yang menciptakan. Sehinggakan ramai para ilmuan yang memeluk Islam gara-gara takjub dengan penciptaan Allah yang tiada jawapan dari rantaian persoalan yang tiada penghujung. Jawapan hanya satu, Allah yang menjadikan.

Kita adalah khalifah Allah yang diciptakan khas untuk mentadbir bumi ini. Kita bukan dilahirkan sia-sia, tetapi kita ada misi. Tetapi layakkah kita di gelar khalifah setelah apa yang kita lakukan sekarang? Adakah cukup dengan apa yang kita lakukan setelah di cop beragama Islam? Fikir-fikirkanlah akhwat sekalian.

Kita adalah umat Islam

“Kamu umat Islam adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah…” (3:110)

Sungguh tinggi kita umat Islam ini di anggap terbaik oleh Allah dari segala macam umat di dunia ini. Kita sangat bersyukur kerana telah ditakdirkan Islam oleh Allah. Kita telah di pilih dari berjuta-juta penduduk di dunia menjadi Islam. Dan dari berjuta-juta kita di pilih untuk kenal tarbiyah, dakwah dan halaqah. Oleh itu didiklah diri ini menjadi umat sebagaimana yang Allah jelaskan dalam ayat (3:110).

Jika kita menyedari, sebagai umat Islam kita bukan sahaja tunduk kepada Allah tetapi kita secara tidak langsung turut mempunyai komitmen dan perlu diterjemahkan dengan amalan dan perbuatan kita. Seringkali kita menyebut dalam setiap solat kita:

“……. ‘Sesungguhnya solatku, ibadah ku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam.”(6:162)

Inilah slogan dan janji kita kepada Allah. Tetapi sejauh mana kita melaksanakannya?. Sesungguhnya Islam adalah cara hidup kita dan bukan hobi yang kita akan lakukan untuk mengisi masa lapang.

“Wahai orang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu”. (2:208)

Kebanyakan umat Islam hari ini semakin rapuh dan gemar mencampur adukkan yang haq dengan yang bathil sehingga mengelirukan sekalian umat Islam itu sendiri. Tetapi bagi kita yang menyedari hakikat ini wajib menegakkan dan menyampaikan kebenaran mengikut kemampuan dan cara masing-masing tetapi dengan bersungguh-sungguh di samping menambahkan kefahaman dan memberikan teladan yang baik. Dalam berkomitmen pula, 2 komponen penting yang mesti ada iaitu ikhlas kerana Allah dan rela berkorban.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenar adalah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. “(49:15)

Perlu Halaqah

Cuba kita fikirkan, apabila berdakwah itu wajib, adakah halaqah juga wajib? . Bukankah halaqah itu menjadi keperluan penting dalam membantu kerja dakwah? Mari kita fikirkan istilah dan tujuan halaqah itu.

Istilah halaqah sangat umum di timur tengah dan biasa dilakukan di masjid. Bahannya pula berkaitan dengan kitab tertentu seperti aqidah, fiqh, hadith, sirah dsb. Contoh yang paling mudah di Masjidil haram Makkah dan Madinah. Tetapi di Malaysia halaqah umumnya sering di kaitkan dengan pengisian berkelompok di mana akan dibimbing oleh seorang murobiah.

Tujuan halaqah adalah adalah untuk membentuk wawasan dan keperibadian Islami bagi melahirkan aktivis yang memiliki wawasan serta berkeperibadian mengikut acuan fikrah Islami. Sesungguhnya halaqah adalah wasilah yang sangat bermanfaat dalam rangka dakwah kepada Allah seterusnya melahirkan generasi Islami. Menghadiri halaqah adalah salah satu komitmen kita dalam mendekatkan diri kepada Allah di samping mengobarkan semangat perjuangan, penyebaran dakwah dan pentarbiyahan seantera umur kita.

Oleh itu, adakah halaqah itu wajib? Sedangkan dakwah itu wajib? Tepuk hati Tanya iman.

Kesimpulan

Apabila seseorang bergelar Islam, secara tidak langsung di tangannya akan ada amanah dan wajib untuk dia berkomitmen sepertimana sebagai seorang Islam. Komitmen yang sebenar memerlukan hati yang ikhlas dan pengorbanan. Sebagaimana kita melihat contoh yang teragung Rasulullah SAW yang berjuang demi menyampaikan dakwah kepada umat yang sangat dikasihinya. Pengorbanan yang tidak ternilai dan sangat berharga hasil dari pengorbanan dan keikhlasan yang tiada penghujungnya sehingga lahirnya kita sebagai Islam di bumi ini. Sehubungan itu, jadikan halaqah suatu keperluan sebagai sarana kepada kita untuk pentarbiyahan dan berdakwah. Sebagaimana telah kita sedia maklum, halaqah itu telah di amalkan oleh pemimpin teragung kita Rasulullah sebagai wadah dalam berdakwah.


P/S : Teguran buat diri..

Sabtu, 13 November 2010

SUAMI IDAMAN


Sesungguhnya untuk mendapatkan suami idaman yang sempurna adalah mustahil kerana kita golongan wanita juga tidak sempurna. Manusia yang sempurna hanyalah Rasulullah SAW. Tetapi percayalah setiap jodoh yang telah ditentukan Allah untuk kita itulah yang terbaik untuk kita. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk menjadi baik dan terbaik serta tidak putus-putus berdoa agar dikurniakan suami idaman. Sebagaimana firman Allah:

“Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji, sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan yang baik..” (24:26)

Wahai para lelaki & suami sekalian, para wanita & isteri mendambakan suami idaman…

CIRI-CIRI SUAMI IDAMAN

Taqwa

Taqwa adalah ciri yang paling utama. Firman Allah :

“Wahai orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar2 taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam Islam”, (Surah Ali ‘Imran 3:102).

Suami yang bertaqwa tidak akan mensia-siakan isteri. Malah sentiasa menghormati dan mencintai isteri. Menyedari tugas membimbing isteri kepada Allah adalah tanggungjawabnya. Suami idaman akan menjadi benteng bagi kehidupan isteri apabila dalam kesusahan dan berkongsi kegembiraan bersama. Mereka juga sentiasa adil dalam apa jua keadaan, terutama dalam memberikan kasih sayang dan perhatian. Segala masalah akan dihadapi dengan tenang dan sentiasa mendoakan isteri dan anak-anak. Apabila bergaul pula akan menjaga tingkah laku dan baik terhadap keluarganya dan juga keluarga isteri.

Pemimpin

Suami adalah pemimpin bagi isteri dan ahli keluarganya. Firman Allah :

“Kaum lelaki itu ialah pemimpin terhadap kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka daripada sebahagian yang lain”, (Surah An-Nisa’ 4:34)

Sebagai pemimpin suami WAJIB memberi bimbingan dan pendidikan kepada isteri dan seluruh ahli keluarga agar tidak terjerumus ke lembah KEJAHILAN. Firman Allah :

“Wahai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu, daripada api neraka yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu”, (Surah al-Tahrim 66:6).

Oleh itu dalam usaha mendidik dan membimbing isteri dan keluarga, seorang SUAMI AKAN MELENGKAPKAN DIRI DENGAN ILMU YANG MANTAP TERUTAMA ILMU AGAMA.

Bijaksana

Bijak dalam mengendalikan bahtera rumah tangga. Ciri orang bijak ialah menjaga tingkah laku yang sopan dan hormat orang lain. Suami yang bijak, akan di hormati isteri & anak-anak. Suami yang bijak tahu hala tuju keluarga yang hendak dibawa iaitu ada matlamat hidup untuk mencapai keredhaan Allah. Mereka juga bijak dalam membuat keputusan dan dalam memberi kasih sayang.

Penyayang

Penyayang dalam bentuk perbuatan dan perkataan. Suami penyayang mengutamakan tumpuan terhadap keluarga berbanding urusan lain. Masa terluang dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Firman Allah :

“…gaulilah mereka dengan cara yang baik”, (Surah al-Nisa’ 4:19)

Sabda Rasulullah SAW :

“Sebaik-baik kamu alah yang paling baik kepada isterinya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteriku”.

Memahami sikap isteri

Suami idaman akan mengambilkira factor kejiwaan dan menyelami cita rasa serta mengambil tahu perasaanya. Wanita mempunyai sifat dan peribadi yang unik. Allah telah menjadikan emosi wanita lebih kuat dari akalnya berbeza dengan kaum lelaki. Isteri malu untuk berterus terang untuk meluahkan perasaannya. Oleh itu, suami idaman sangat rajin berbincang dengan isteri dan menjadi pendengar yang baik.

Kesimpulan

Yang demikian, akhwat-ahkwat boleh jadikan ciri-ciri ini sebagai salah satu indikator dalam membuat pemilihan pasangan hidup.

Bagi suami, isterimu mendoakan agar dikau terus istiqamah dalam beramal dan tidak jemu dalam perjuangan melawan nafsu jahiliah yang boleh merosakkan keimanan mu kepada Allah. Carilah ilmu agama dan dalamilah ia kerana isterimu mahukan dibimbing, bukan membimbing..



Sumber: Majalah Solusi


Sabtu, 6 November 2010

Fitrah Beriman

Dari Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a telah menegaskan:

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (perasaan percaya kepada Allah). Maka kedua orang tuanyalah yang menjadikan anak tersebut beragama yahudi, nasrani atau majusi…”

Melalui hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa beriman kepada Allah adalah fitrah manusia. Oleh itu para ibu bapa perlu bertanggungjawab mengekalkan fitrah tersebut dengan menyuburkan keimanan tersebut kepada anak-anak sejak lahir lagi agar menjadi muda mudi yang mantap imannya dan tidak akan goyah oleh ideology dan anasir-anasir negatif. Jika fitrah itu tidak disuburkan dan dibiarkan akan lahirlah manusia yang berjaya dididik dengan pengaruh propaganda kaum kafir yang sesat.

Didikan ibu bapa

Didikan ibu bapa dan keluarga sangat berpengaruh dalam mengekalkan fitrah anak-anak.

Ibnu Jarir & Ibnul Mundzir meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a:

“Ajarkan anak-anak untuk taat kepada Allah, takut berbuat maksiat, dan suruhlah anak-anak mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah. Kerana hal itu akan memelihara mereka & kamu dari api neraka”

Rasulullah bersabda:

“Didiklah anak-anak pada 3 hal ; mencintai nabi kamu, keluarganya, dan membaca Al-Quran. Sebab orang-orang ahli Al-Quran itu berada dalam lindungan singgahsana Allah pada hari tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganNYA serta para nabi dan orang yang suci”

Banyak dari riwayat tokoh-tokoh Islam mewasiatkan agar mengajari anak-anak Al-Quran kerana ia adalah syiar Islam yang dapat menguatkan aqidah dan keimanan. Sehingga lisan mereka menjadi lurus, semangat mereka menjadi tinggi, hati menjadi tenang, air mata mereka menjadi berlinang dan iman serta keyakinan akan meresap di dalam jiwa mereka.

Didikan guru sesat…??

“Awak semua nanti selepas tamat sekolah jangan nak pakai tudung labuh. Nampak selekeh. Tapi pakai cantik-cantik, guna make-up baru cun…” pesan guru lelaki kepada anak muridnya.

“Saya tak suka pengetua, macam bagus je. Tapi dia tu dah jadi janda kan? Awak tau tak ape-ape citer pasal dia…?” Gosip panas cikgu bersama anak didiknya di kelas.

Daie cilik itu hanya terdiam…memikirkan pendidik di sekolahnya yang semakin jauh dari fitrah. Mereka hanya mengajar subjek yang diamanahkan tapi tidak benar-benar menghayati dan jauh sekali untuk mendidik. Segala yang dihemburkan itu menjadikan dia semakin bersemangat untuk dia meneruskan mujahadah bagi menolak pemikiran guru-guru tersebut. Alangkah indahnya jika semua guru-guru disekolahnya adalah ikhwah akhwat yang ditarbiyah.

Sekolah kontemporari di asaskan oleh sebahagian sekolah di timur & barat yang cuba menjauhkan pendidikan dari roh-roh iman & Islam tanpa mengambil berat soal hati yang perlu disirami dan dibajai dengan iman & taqwa. Tidak hairan anak menjadi sesat & rosak. Minda anak akan dipengaruhi secara bertahap sehingga mengarah kepada kekufuran, sekularisme dan murtad serta membencikan Islam. Golongan yang dengkikan Islam pula akan mengajar anak-anak Islam fakta yang salah seterusnya tertanam dalam minda dan mengelirukan anak-anak.

Menurut Al-Syeikh Rasyid Ridha:

“Tidak boleh sama sekali seorang anak yang lemah pengetahuan agama dihantar ke tempat pengajian yang berorientasikan pelajaran dan pendidikan bukan Islam kerana pendidikan ini akan merosakkan agama mereka. Justeru, perlulah bagi kita merenungt kembali tidakan keji para musuh yang cuba merosakkan aqidah anak-anak di sekolah berorientasikan buka Islam”

Oleh itu pada pendapat saya pilihlah institusi pendidikan yang berteraskan Islam untuk mendidik anak-anak.

Penutup

Ibn Khaldun berkata:

“Anak-anak mempelajari dengan cara mengikuti dan mencontohi lebih berbanding dengan cara nasihat & tunjuk ajar”

Anak-anak cenderung perbuat apa yang mereka lihat daripada apa yang mereka dengar. Sebagaimana kata nenek “Dari pandangan mata jatuh ke hati”. Sesungguhnya hati adalah penentu kepada kejernihan fitrah.

Selamat Mendidik!