Pages

Photobucket
Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di wakttu ia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” ( Surah Al-Luqman : 13)

Jumaat, 31 Disember 2010

Berazamlah!!!


Baru-baru ini kita telah masuk ke tahun baru Hijrah, dan sebentar lagi kita akan masuk tahun baru masihi. Biasanya setiap masuk awal tahun sahaja, majoriti daripada kita akan memperbaharui azam dan mula untuk muhasabah diri sepanjang tahun yang dilakukannya. Kabanyakkan apa yang kita azamkan pada awal tahun, sukar untuk kita mencapainya hingga ke akhir tahun. Dan malah ada yang terlupa apa yang di azamkan sebelum ini. Mungkin kerana kita tidak serius dengan azam kita atau kerana kita mungkin terlupa hal yang penting dalam proses mencapai azam tersebut. Antara hal yang penting untuk mencapai azam :

Percaya diri

Ujian sumber kekuatan

Tidak berputus asa.

Percaya Diri

Percaya diri sangat penting dalam mencapai azam kita. Kepercayaan menjadi kompas kearah hala tuju kita untuk mencapai azam. Contohnya, seorang mujahid sanggup mengorbankan dirinya ke jalan Allah kerana kepercayaan yang kuat bahawa Allah telah menyediakan ganjaran yang hebat untuknya. Contoh lain pula, seekor anak singa telah dipelihara oleh seekor ibu kambing. Walaupun secara fizikalnya mereka berbeza, mereka telah berkongsi suatu kepercayaan iaitu ibu kambing adalah ibunya dan anak singa itu anaknya. Si ibu akan didik anak singa itu seperti anak kambing yang lain, dan si anak singa itu akan berperwatakan seperti seekor kambing kerana dia percaya dia adalah seekor kambing. Begitu juga kita, jika kita didik diri kita serta percaya kita seorang yang hebat, kita akan jadi manusia yang hebat, jika kita percaya kita seorang yang pandai, bijak, kuat, rajin, malah seorang dai’e yang berjaya, kita akan jadi sebagaimana yang telah kita mindset kan dalam fikiran dan telah ditanamkan di dalam jiwa. Sebenarnya kita adalah apa kita fikirkan. Oleh itu jangan kita ragu dengan diri sendiri kerana kita dilahirkan sebagai juara.

Allah berfirman, “Sesungguhnya yang akan meminta izin kepada Mu (Muhammad), hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keraguan” (9:44).

Ujian sumber kekuatan

Firman Allah, “Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa. Mahapengampun.” (67:2)

Allah berfirman lagi, “Dan sungguh, kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu; dan akan Kami uji perihal kamu.”(47:31)

Untuk memperolehi keimanan, ia merupakan suatu tahap yang tinggi. Perlukan pengorbanan dan usaha yang konsisten untuk mendapatkan iman. Dalam menuju untuk memperolehinya, kita akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan. Akan banyak penghalang-penghalang untuk kearah itu seperti halangan dari nafsu dalam diri, syaitan yang suka menghasut, rakan-rakan, keluarga, dan sekelian duri-duri yang mengelilingi kita. Begitu juga, jika kita inginkan sesuatu, tak kurang juga ujiannya. Ujian itu adalah training dari Allah untuk hambaNYA agar menjadi kuat untuk berhadapan dengan musibah dan ujian yang lebih berat yang bakal ditempuhi akan datang. Kita boleh umpamakan seperti kejadian seekor rama-rama dimana dalam proses kejadiannya, ia menjadi beluncas, kemudian, hidup dalam kepompong dan kemudian baru menjadi rama-rama yang cantik. Pernah seorang pengkaji membelah kepompong beluncas tersebut dan mudahlah rama-rama tersebut keluar dan tanpa perlu susah payah membuka kepompong tersebut. Tapi seketika kemudian, rama-rama tersebut mati. Jadi ibrahnya, kesusahan dan ujian itu adalah persediaan untuk kita berhadapan dengan kehidupan ini. Ujian dan dugaan itu penting, kerana pemikiran kita akan jadi lebih kreatif dan lebih berkembang. Ujian tidak akan berhenti hinggalah kita meninggal sekali pun. Begitu juga bila kita dihidupkan semula selepas kematian. Makanya, ingatlah sesungguhnya dunia itu pahit, kerana syurga itu manis. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Firman Allah, “….Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan” (65:7)


Tidak berputus asa

Allah berfirman, “…jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah hanyalah orang-orang kafir” (12:87).

Firman Allah lagi, “….tidak ada yang berputus asa dari rahmat TuhanNya, kecuali orang yang sesat.” (15:56)

Mari kita ingat kembali, selepas dilahirkan, kita belajar untuk meniarap, kemudian merangkak, berdiri, berjalan dan seterusnya berlari. Dalam proses tersebut, kita sering jatuh, menangis, luka dsb untuk membolehkan kita berjalan dan berlari. Jika kita berputus asa semasa itu, sudah pasti kita tidak boleh berdiri dan berjalan sekarang ini. Sebenarnya fitrah kita sejak dilahirkan adalah tidak berputus asa. Tapi kenapa sekarang, apabila kita di uji dengan kesusahan, kepayahan dan kegagalan, kita sangat mudah berputus asa? Ayuh bangkitlah dengan keazaman dan kesungguhan untuk menggapai apa yang kita mahukan. Cuba dan teruslah mencuba. Sebagaimana pencipta resepi KFC dan penulis Harry Potter menjadi sangat terkenal dan berjaya setelah berpuluh-puluh kali resepi dan karyanya di tolak.Apatah lagi kita yang Islam, malah bergelar dai’e, mestilah lebih hebat dari mereka kerana kita ada Al Quran dan Sunnah sebagai pegangan hidup. Ayuh! Bangkitlah, kerana gagal sekali bukan gagal selamanya. . Orang berjaya, ialah orang yang pernah gagal. Kegagalan mencetus keazaman yang memuncak untuk bangkit dan meraih kejayaan yang dinginkan.


Kesimpulannya

Mulakan azam hari ini juga kerana sebagai umat Islam kita perlu ada azam tidak kira kecil atau besar. Tetapi sebelum mencapai keazaman yang besar, mulakan terlebih dahulu dengan azam yang kecil. Pencapaian azam-azam yang kecil secara konsisten akan berupaya untuk mencapai azam yang besar. Lakarkan azam yang ingin dicapai dan tampalkan di dinding bilik kita agar kita tidak lupa malah lebih focus terhadap apa yang ingin kita capai. Seiringan dengan itu, amalkan prinsip USAHA + TAWAKAL.

Khamis, 2 Disember 2010

Berkorbanlah...


Korban Cuti

2 hari lagi Hari raya korban. Erm..cuti aku tinggal 10 hari sahaja untuk sampai Bulan Jun 2011. Cuti aku sebelum ini telah di habiskan 10 hari semasa mengandungkan Muhammad Naufal. Mama dan abah berharap aku cuti hari Khamis dan Jumaat agar dapat pulang ke Kelantan bersama mereka di samping perkenalkan Muhammad Naufal kepada Tok Mek dan saudara-saudara di kampung. Untuk memuaskan hati semua orang, aku terpaksa berkorban, korban 2 hari cuti untuk berhari raya korban di Kelantan.

Korbankan tidur

Selepas pulang kerja, aku bergegas mengemas pakaian ku, zauj hub dan anak kesayangan. Kami akan berangkat ke Kelantan mala mini. Mujur aku pulang kerja awal setelah selesaikan urusan kerja ku di luar pejabat. Ya, esok kali ke-2 aku beraya korban di Kelantan. Semoga aku dapat sesuatu yang bermakna di sana. Kami bergerak selepas isyak. Muhammad Naufal yang tidur pada mulanya telah tersedar dari tidur. Sepanjang perjalanan, sukar benar Muhammad Naufal tidur. Membuatkan aku juga tidak boleh tidur sepanjang perjalanan yang mengambil masa selama 10 jam.

Kami sampai di rumah Tok Mek jam 7.30 pagi. Aku cuba kuatkan semangat dan melawan rasa ngantuk. Hari ini aku mahu solat raya korban. Mesti aka nada pengisian yang besh dari Tok Imam nanti sebagai booster untuk iman. Aku segera bersiap untuk ke masjid. Mujurlah Muhammad Naufal telah tidur, Alhamdulillah mudahlah segala urusan.

Ceramah Tok Imam

Semasa menunggu waktu solat, kami bertakbir. Sungguh sayu rasanya hati ini. Tanpa ku sedari aku tersengguk-sengguk menahan ngantuk. Mama mengejutkan aku yang separa sedar itu. AStagfirullah, aku beristigfar beberapa kali. Cuba menaikkan semangat dan melawan rasa ngantuk. Seusai solat, Tok Imam memberikan sedikit tazkirah. Antara yang aku ingat lebih kurang begini katanya:

‘Sesungguhnya, kita umat Islam adalah hamba Allah. Jadikan Islam sebagai cara hidup. Jadikan hari raya korban hari ini untuk kita memperbaiki diri dan iman. Sesungguhnya Allah anugerahkan hari raya korban ini adalah rahmat dari Allah iaitu di mana jika kita memohon ampun kepada Allah, Allah akan ampunkan dosa kita, dan jika kita berdoa, Allah akan makbulkan doa kita. Allah Maha PEngasih dan Penyayang, betapa Allah inginkan mengampunkan dosa hambanya dengan pelbagai cara dan anugerah yang diberikan. Sedangkan jika kita menunaikan solat 5 waktu, Allah akan ampunkan segala dosa kita selagi bukan dosa sesama manusia. Allah akan ampun segala dosa kecil kita. Subhanallah, Allah maha pemurah paha penyayang.

Kita sering tidak akan terlepas melakukan dosa dan maksiat. Dosa dan maksiat itu akan menjadi noda hitam di hati kita. Cara untuknya bersinar kembali ialah dengan perbanyakkan zikir dan taubat. Berapa ramai yang menyedari pemberian hidayah dari Allah yang mengajak kita untuk memperbaiki diri kepada yang benar? Hidayah itu dikirimkan dari Allah lalu di utuskan melalui malaikat rahmat untuk diberikan kepada hamba Allah yang terpilih. Apabila hati kita terdetik untuk melakukan kebaikan dan ingin berubah, itu adalah tanda hidayah Allah telah sampai kepada kita. Sekiranya kita tidak mengambil serius mengenai hidayah tersebut dan membiarkan diri terus lalai tanpa berusaha untuk memperbaikinya, maka hidayah itu akan hilang di telan masa kelalaian kita. Sesunguhnya, segala hiburan, permainan, dan kelalaian yang kita lakukan langsung tidak dipandang oleh Allah. Allah hanya melihat amalan kita dan tunggulah samada kita dicampakkan ke neraka atau memperolehi nikmat syurga.

Sempena dengan hari raya korban ini, tanamkan satu tekad dalam hati untuk kita korbankan apa yang kita suka tapi dibenci oleh Allah. Korbankan nafsu kita dari terus bermaharajalela bertakhta dalam diri kita. Korbankan masa kita untuk meningkatkan amalan dan mutu ibadah kita. Korbankan diri kita untuk berjihad di jalan Allah. Kerana segala pengorbanan yang kita lakukan kerana Allah akan dibalas syurga dan keberkatan hidup kita di dunia.’

Kesimpulannya

Untuk mencapai segala yang kita inginkan, perlukan pengorbanan. Jika kita ingin mendapatkan sesuatu, kita terpaksa melepaskan apa yang kita ada. Dalam kehidupan kita, tidak terlepas dari pengorbanan sejak kita lahir hinggalah kita meninggal. Pengorbanan yang hakiki ialah kerana Allah, dan itulah jual beli yang paling bernilai di sisi Allah.

“Wahai orang yang beriman! Mahukah kamu aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan dengan harta dan jiwa mu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui..” (61:10-11)

Selasa, 23 November 2010

Islam, Komitmen, Ikhlas, Berkorban. .


Setelah berbulan-bulan aku mengasingkan diri. Membawa diri jauh dari akhwat-akhwat. Aku sedar akan tindakan ku ini, bahawa dengan berjauhan dari sekalian akhwat, aku akan semakin jauh dari tarbiyah. Namun aku terpaksa juga berjauhan dengan mereka. Selepas 3 bulan, aku kembali semula. Dengan azam dan niat yang baru untuk meneruskan perjuangan dakwah ini. Lalu aku ringankan tangan ini untuk menaip sms. “Ukhti, ana telah bersedia untuk halaqah.” Rasa kerinduan terhadap halaqah dan sahabiah menekan jiwa ku, tidak sabar menanti saat itu. Baru ku sedar, jika meninggalkan halaqah, aku akan semakin lemah. Jiwa ku semakin kosong. Jiwaku dahagakan pengisian dari murobiah. Matlamat dan perjuanganku semakin sirna. Aku terkedu sendirian. “Ya Allah ampunilah aku…”.

Kita adalah khalifah

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat ‘Aku ingin menjadikan khalifah di bumi’….” (2:30)

Siapakah khalifah itu jika bukan kita iaitu manusia? Yang berketurunan Adam dan Hawa..

“Sesunggunya tidak Ku jadikan jin dan manusia itu semata-mata untuk beribadah kepada ku.”

Apa yang membezakan manusia dengan binatang adalah akal fikiran. Betapa mulianya manusia Allah memberikan akal fikiran agar kita berfikir mengenai kekuasaan Allah. Agar dengan berfikir, kita tahu bahawa diri kita dan segala yang ada di bumi ini ada yang menciptakan, ada permulaan dan pengakhiran. Tidak akan terjadinya sesuatu tanpa ada yang menciptakan. Sehinggakan ramai para ilmuan yang memeluk Islam gara-gara takjub dengan penciptaan Allah yang tiada jawapan dari rantaian persoalan yang tiada penghujung. Jawapan hanya satu, Allah yang menjadikan.

Kita adalah khalifah Allah yang diciptakan khas untuk mentadbir bumi ini. Kita bukan dilahirkan sia-sia, tetapi kita ada misi. Tetapi layakkah kita di gelar khalifah setelah apa yang kita lakukan sekarang? Adakah cukup dengan apa yang kita lakukan setelah di cop beragama Islam? Fikir-fikirkanlah akhwat sekalian.

Kita adalah umat Islam

“Kamu umat Islam adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah…” (3:110)

Sungguh tinggi kita umat Islam ini di anggap terbaik oleh Allah dari segala macam umat di dunia ini. Kita sangat bersyukur kerana telah ditakdirkan Islam oleh Allah. Kita telah di pilih dari berjuta-juta penduduk di dunia menjadi Islam. Dan dari berjuta-juta kita di pilih untuk kenal tarbiyah, dakwah dan halaqah. Oleh itu didiklah diri ini menjadi umat sebagaimana yang Allah jelaskan dalam ayat (3:110).

Jika kita menyedari, sebagai umat Islam kita bukan sahaja tunduk kepada Allah tetapi kita secara tidak langsung turut mempunyai komitmen dan perlu diterjemahkan dengan amalan dan perbuatan kita. Seringkali kita menyebut dalam setiap solat kita:

“……. ‘Sesungguhnya solatku, ibadah ku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam.”(6:162)

Inilah slogan dan janji kita kepada Allah. Tetapi sejauh mana kita melaksanakannya?. Sesungguhnya Islam adalah cara hidup kita dan bukan hobi yang kita akan lakukan untuk mengisi masa lapang.

“Wahai orang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu”. (2:208)

Kebanyakan umat Islam hari ini semakin rapuh dan gemar mencampur adukkan yang haq dengan yang bathil sehingga mengelirukan sekalian umat Islam itu sendiri. Tetapi bagi kita yang menyedari hakikat ini wajib menegakkan dan menyampaikan kebenaran mengikut kemampuan dan cara masing-masing tetapi dengan bersungguh-sungguh di samping menambahkan kefahaman dan memberikan teladan yang baik. Dalam berkomitmen pula, 2 komponen penting yang mesti ada iaitu ikhlas kerana Allah dan rela berkorban.

“Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenar adalah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. “(49:15)

Perlu Halaqah

Cuba kita fikirkan, apabila berdakwah itu wajib, adakah halaqah juga wajib? . Bukankah halaqah itu menjadi keperluan penting dalam membantu kerja dakwah? Mari kita fikirkan istilah dan tujuan halaqah itu.

Istilah halaqah sangat umum di timur tengah dan biasa dilakukan di masjid. Bahannya pula berkaitan dengan kitab tertentu seperti aqidah, fiqh, hadith, sirah dsb. Contoh yang paling mudah di Masjidil haram Makkah dan Madinah. Tetapi di Malaysia halaqah umumnya sering di kaitkan dengan pengisian berkelompok di mana akan dibimbing oleh seorang murobiah.

Tujuan halaqah adalah adalah untuk membentuk wawasan dan keperibadian Islami bagi melahirkan aktivis yang memiliki wawasan serta berkeperibadian mengikut acuan fikrah Islami. Sesungguhnya halaqah adalah wasilah yang sangat bermanfaat dalam rangka dakwah kepada Allah seterusnya melahirkan generasi Islami. Menghadiri halaqah adalah salah satu komitmen kita dalam mendekatkan diri kepada Allah di samping mengobarkan semangat perjuangan, penyebaran dakwah dan pentarbiyahan seantera umur kita.

Oleh itu, adakah halaqah itu wajib? Sedangkan dakwah itu wajib? Tepuk hati Tanya iman.

Kesimpulan

Apabila seseorang bergelar Islam, secara tidak langsung di tangannya akan ada amanah dan wajib untuk dia berkomitmen sepertimana sebagai seorang Islam. Komitmen yang sebenar memerlukan hati yang ikhlas dan pengorbanan. Sebagaimana kita melihat contoh yang teragung Rasulullah SAW yang berjuang demi menyampaikan dakwah kepada umat yang sangat dikasihinya. Pengorbanan yang tidak ternilai dan sangat berharga hasil dari pengorbanan dan keikhlasan yang tiada penghujungnya sehingga lahirnya kita sebagai Islam di bumi ini. Sehubungan itu, jadikan halaqah suatu keperluan sebagai sarana kepada kita untuk pentarbiyahan dan berdakwah. Sebagaimana telah kita sedia maklum, halaqah itu telah di amalkan oleh pemimpin teragung kita Rasulullah sebagai wadah dalam berdakwah.


P/S : Teguran buat diri..

Sabtu, 13 November 2010

SUAMI IDAMAN


Sesungguhnya untuk mendapatkan suami idaman yang sempurna adalah mustahil kerana kita golongan wanita juga tidak sempurna. Manusia yang sempurna hanyalah Rasulullah SAW. Tetapi percayalah setiap jodoh yang telah ditentukan Allah untuk kita itulah yang terbaik untuk kita. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk menjadi baik dan terbaik serta tidak putus-putus berdoa agar dikurniakan suami idaman. Sebagaimana firman Allah:

“Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji, sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan yang baik..” (24:26)

Wahai para lelaki & suami sekalian, para wanita & isteri mendambakan suami idaman…

CIRI-CIRI SUAMI IDAMAN

Taqwa

Taqwa adalah ciri yang paling utama. Firman Allah :

“Wahai orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar2 taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam Islam”, (Surah Ali ‘Imran 3:102).

Suami yang bertaqwa tidak akan mensia-siakan isteri. Malah sentiasa menghormati dan mencintai isteri. Menyedari tugas membimbing isteri kepada Allah adalah tanggungjawabnya. Suami idaman akan menjadi benteng bagi kehidupan isteri apabila dalam kesusahan dan berkongsi kegembiraan bersama. Mereka juga sentiasa adil dalam apa jua keadaan, terutama dalam memberikan kasih sayang dan perhatian. Segala masalah akan dihadapi dengan tenang dan sentiasa mendoakan isteri dan anak-anak. Apabila bergaul pula akan menjaga tingkah laku dan baik terhadap keluarganya dan juga keluarga isteri.

Pemimpin

Suami adalah pemimpin bagi isteri dan ahli keluarganya. Firman Allah :

“Kaum lelaki itu ialah pemimpin terhadap kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka daripada sebahagian yang lain”, (Surah An-Nisa’ 4:34)

Sebagai pemimpin suami WAJIB memberi bimbingan dan pendidikan kepada isteri dan seluruh ahli keluarga agar tidak terjerumus ke lembah KEJAHILAN. Firman Allah :

“Wahai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu, daripada api neraka yang mana bahan bakarnya adalah manusia dan batu”, (Surah al-Tahrim 66:6).

Oleh itu dalam usaha mendidik dan membimbing isteri dan keluarga, seorang SUAMI AKAN MELENGKAPKAN DIRI DENGAN ILMU YANG MANTAP TERUTAMA ILMU AGAMA.

Bijaksana

Bijak dalam mengendalikan bahtera rumah tangga. Ciri orang bijak ialah menjaga tingkah laku yang sopan dan hormat orang lain. Suami yang bijak, akan di hormati isteri & anak-anak. Suami yang bijak tahu hala tuju keluarga yang hendak dibawa iaitu ada matlamat hidup untuk mencapai keredhaan Allah. Mereka juga bijak dalam membuat keputusan dan dalam memberi kasih sayang.

Penyayang

Penyayang dalam bentuk perbuatan dan perkataan. Suami penyayang mengutamakan tumpuan terhadap keluarga berbanding urusan lain. Masa terluang dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Firman Allah :

“…gaulilah mereka dengan cara yang baik”, (Surah al-Nisa’ 4:19)

Sabda Rasulullah SAW :

“Sebaik-baik kamu alah yang paling baik kepada isterinya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteriku”.

Memahami sikap isteri

Suami idaman akan mengambilkira factor kejiwaan dan menyelami cita rasa serta mengambil tahu perasaanya. Wanita mempunyai sifat dan peribadi yang unik. Allah telah menjadikan emosi wanita lebih kuat dari akalnya berbeza dengan kaum lelaki. Isteri malu untuk berterus terang untuk meluahkan perasaannya. Oleh itu, suami idaman sangat rajin berbincang dengan isteri dan menjadi pendengar yang baik.

Kesimpulan

Yang demikian, akhwat-ahkwat boleh jadikan ciri-ciri ini sebagai salah satu indikator dalam membuat pemilihan pasangan hidup.

Bagi suami, isterimu mendoakan agar dikau terus istiqamah dalam beramal dan tidak jemu dalam perjuangan melawan nafsu jahiliah yang boleh merosakkan keimanan mu kepada Allah. Carilah ilmu agama dan dalamilah ia kerana isterimu mahukan dibimbing, bukan membimbing..



Sumber: Majalah Solusi


Sabtu, 6 November 2010

Fitrah Beriman

Dari Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a telah menegaskan:

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (perasaan percaya kepada Allah). Maka kedua orang tuanyalah yang menjadikan anak tersebut beragama yahudi, nasrani atau majusi…”

Melalui hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa beriman kepada Allah adalah fitrah manusia. Oleh itu para ibu bapa perlu bertanggungjawab mengekalkan fitrah tersebut dengan menyuburkan keimanan tersebut kepada anak-anak sejak lahir lagi agar menjadi muda mudi yang mantap imannya dan tidak akan goyah oleh ideology dan anasir-anasir negatif. Jika fitrah itu tidak disuburkan dan dibiarkan akan lahirlah manusia yang berjaya dididik dengan pengaruh propaganda kaum kafir yang sesat.

Didikan ibu bapa

Didikan ibu bapa dan keluarga sangat berpengaruh dalam mengekalkan fitrah anak-anak.

Ibnu Jarir & Ibnul Mundzir meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a:

“Ajarkan anak-anak untuk taat kepada Allah, takut berbuat maksiat, dan suruhlah anak-anak mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah. Kerana hal itu akan memelihara mereka & kamu dari api neraka”

Rasulullah bersabda:

“Didiklah anak-anak pada 3 hal ; mencintai nabi kamu, keluarganya, dan membaca Al-Quran. Sebab orang-orang ahli Al-Quran itu berada dalam lindungan singgahsana Allah pada hari tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganNYA serta para nabi dan orang yang suci”

Banyak dari riwayat tokoh-tokoh Islam mewasiatkan agar mengajari anak-anak Al-Quran kerana ia adalah syiar Islam yang dapat menguatkan aqidah dan keimanan. Sehingga lisan mereka menjadi lurus, semangat mereka menjadi tinggi, hati menjadi tenang, air mata mereka menjadi berlinang dan iman serta keyakinan akan meresap di dalam jiwa mereka.

Didikan guru sesat…??

“Awak semua nanti selepas tamat sekolah jangan nak pakai tudung labuh. Nampak selekeh. Tapi pakai cantik-cantik, guna make-up baru cun…” pesan guru lelaki kepada anak muridnya.

“Saya tak suka pengetua, macam bagus je. Tapi dia tu dah jadi janda kan? Awak tau tak ape-ape citer pasal dia…?” Gosip panas cikgu bersama anak didiknya di kelas.

Daie cilik itu hanya terdiam…memikirkan pendidik di sekolahnya yang semakin jauh dari fitrah. Mereka hanya mengajar subjek yang diamanahkan tapi tidak benar-benar menghayati dan jauh sekali untuk mendidik. Segala yang dihemburkan itu menjadikan dia semakin bersemangat untuk dia meneruskan mujahadah bagi menolak pemikiran guru-guru tersebut. Alangkah indahnya jika semua guru-guru disekolahnya adalah ikhwah akhwat yang ditarbiyah.

Sekolah kontemporari di asaskan oleh sebahagian sekolah di timur & barat yang cuba menjauhkan pendidikan dari roh-roh iman & Islam tanpa mengambil berat soal hati yang perlu disirami dan dibajai dengan iman & taqwa. Tidak hairan anak menjadi sesat & rosak. Minda anak akan dipengaruhi secara bertahap sehingga mengarah kepada kekufuran, sekularisme dan murtad serta membencikan Islam. Golongan yang dengkikan Islam pula akan mengajar anak-anak Islam fakta yang salah seterusnya tertanam dalam minda dan mengelirukan anak-anak.

Menurut Al-Syeikh Rasyid Ridha:

“Tidak boleh sama sekali seorang anak yang lemah pengetahuan agama dihantar ke tempat pengajian yang berorientasikan pelajaran dan pendidikan bukan Islam kerana pendidikan ini akan merosakkan agama mereka. Justeru, perlulah bagi kita merenungt kembali tidakan keji para musuh yang cuba merosakkan aqidah anak-anak di sekolah berorientasikan buka Islam”

Oleh itu pada pendapat saya pilihlah institusi pendidikan yang berteraskan Islam untuk mendidik anak-anak.

Penutup

Ibn Khaldun berkata:

“Anak-anak mempelajari dengan cara mengikuti dan mencontohi lebih berbanding dengan cara nasihat & tunjuk ajar”

Anak-anak cenderung perbuat apa yang mereka lihat daripada apa yang mereka dengar. Sebagaimana kata nenek “Dari pandangan mata jatuh ke hati”. Sesungguhnya hati adalah penentu kepada kejernihan fitrah.

Selamat Mendidik!

Khamis, 28 Oktober 2010

Tarbiyahlah anak semasa kandungan...


Al Ghazali pernah mengatakan:


"Anak adalah amanah ibu bapa. Hatinya masih suci ibarat permata yang mahal harganya. apabila ia dibiasakan dengan didikan yang baik, maka ia akan membesar dengan sifat-sifat baik & akan bahagia di dunia & akhirat. Sebaliknya jika ia dibiasakan dengan tradisi-tradisi buruk & tidak dipedulikan seperti haiwan, maka ia akan hancur & binasa"


Pengalaman ku mengandungkan anak pertama bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai perasaan yang menerpa hati ku, rasa takut, gembira, belum bersedia dan pelbagai lagi. Aku mula mencari buku-buku berkaitan untuk dibaca sebagai persediaan dan bertanya kepada orang yang berpengalaman. Semasa tempoh hamil, aku menyedari banyak perubahaan yang berlaku dan tanpa ku sedari emosi ku juga tidak menentu...


Pengaruh emosi ibu


Menurut Ashley Mentagu dalam buku 'Human Heredity' emosi ibu sangat mempengaruhi proses perkembangan struktur dan jiwa janin. Perubahan emosi ibu akan meransang perubahan kimia dalam badan seterusnya mengganggu perkembangan janin. Gangguan emosi ibu pada 10 minggu pertama boleh merisikokan melahirkan bayi cacat.


Semasa hamil, kebanyakkan ibu suka bertindak di luar kebiasaan kerana hormon yang tidak stabil dan tingkah lakunya juga tidak stabil. Seperti mengidam buah masam, makanan pelik, tidak boleh bau nasi, cepat marah, mudah menangis tanpa sebab dsb. Perubahan emosi yang berlaku seharusnya disedari oleh ibu hamil dan cuba mengambil langkah positif agar tidak terikut-ikut dengan emosi.


Sungguh unik ciptaan Allah. Allahu akbar 2x.. Semasa dalam kandungan bayi telah boleh berfikir, mendengar dan ada perasaan. Jika ibu bersedih, bayi dalam kandungan turut akan merasa kesedihan, jika ibu marah, benci, gembira, bayi dalam kandungan akan turut merasakan. Sekiranya kandungan di cabar dengan sesuatu yang kurang selesa, ia akan bertindak balas.


Kandungan yang berumur 6 bulan ke atas, emosi ibu lebih diambil perhatian. Apabila ibu sering mengalami perasaan takut, janin akan bergerak keras dan kuat bergerak. Keadaan ini akan melahirkan anak yang kasar, cepat marah, gemar menagis, sukar makan dan akan mengalami kencing malam pada usia remaja.


Kandungan yang berumur 6 bulan ke atas juga sudah giat meningkatkan daya ingatannya dan berpotensi menyerap pembelajaran. Pengalaman awal kandungan akan menentukan watak dan personaliti anak yang bakal dilahirkan kelak. Ini kerana bayi dalam kandungan tidak boleh menepis pengaruh dari luar dan pengalaman emosi ibu. Melalui pengalaman bersama para ibu, kebanyakan mereka tidak menafikan, kebanyakkan anak berperwatakan dan berpersonaliti sebagaimana mereka semasa hamil. Jika semasa hamil ibu sentiasa beremosi marah, akan melahirkan anak yang pemarah.


Kesimpulannya


Wahai para ibu, melalui pengalaman kehidupan kita yang lepas hingga hari ini, mungkin kita bukanlah seorang insan yang baik, bukan dari didikan yang baik, tapi tak salah untuk kita berubah berusaha menjadi insan yang terbaik samada sebagai hamba Allah, anak, isteri, rakan dan ibu atau bakal ibu. Bagi ibu dan bakal ibu didiklah anakmu semasa dalam kandungan kerana Allah telah memberi kemudahan kepada kita di kurniakan anak dalam kandungan yang mudah untuk ditarbiyah dan akan membantu menggilapkan lagi potensi dan peribadinya selepas dilahirkan nanti.


Antara amalan yang mesti dibuat ialah:
1. Jaga mutabaah.
2. Banyakkan melakukan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah.
3. Banyakkan berdoa.
4. Taat perintah Allah dan menjauhi larangannya.
5. Buang segala perasaan buruk dan positifkan diri sendiri.
6. Banyakkan membaca buku bermanfaat.
7. Elakkan konflik jiwa dan banyak bertenang.
8. Banyakkan istirehat & tidur yang cukup terutama waktu malam.
9. Banyakkan berkomunikasi, menasihati, bercakap perkara yang baik kepadanya.
10. Biasakan perdengarkan ayat quran dan zikir.
11. Jaga pemakanan dan jangan biarkan perut kosong. Makan madu, kismis dan kurma setiap hari.


Semoga kita jadi ibu mithali dan melahirkan anak soleh melahirkan mujahid penyambung perjuangan Rasulullah..TAKBIR!

Ahad, 24 Oktober 2010

berita gembira...


Berita gembira

“Tahniah, puan di sahkan pregnant..” beritahu doctor.

“Alhamdulilah…” aku bertasbih, bertahmid memuji Allah. Air mata gembira ini tidak tertahan mengalir membasahi pipiku.

Sesungguhnya inilah berita yang sangat di nantikan oleh semua yang pasangan yang telah berkahwin.

Mengikut statistic yang dimaklumkan doctor, sekiranya sepuluh pasangan yang berkahwin, mungkin hanya 2-3 orang sahaja yang akan mengandung dalam masa setahun. Ini kerana, wanita hanya akan mengeluarkan sel ovum sebulan sekali dan akan bertahan selama satu jam. Berbeza dengan lelaki, sel sperma nya sentiasa ada. Dan ini adalah salah satu factor yang menyukarkan seseorang itu mengandung.

didikan semasa dalam kandungan

semasa anak berumur 3 bulan dalam kandungan, deria pendengarannya telah berfungsi. Dan pada masa itulah, amat sesuai untuk para ibu memperuntukkan masa berbicara dengan kandungan di dalam badan. Menurut kajian barat, kandungan yang sering didengarkan dengan lagu atau muzik yang tenang, akan melahirkan anak yang sihat. Manakala, jika didengarkan lagu-lagu berunsurkan keganasan, maka, anak yang dilahirkan itu akan bersikap agresif dan sukar untuk dibentuk. Para ibu juga sangat dinasihatkan agar menjaga emosi kerana ia sangat memberi kesan kepada psikologi perkembangan anak.

Ini jelas membuktikan, factor luaran sangat mempengaruhi kandungan dan psikologi anak terutama apabila dia lahir nanti. Memori tersebut akan disimpan dan akan dipamerkan semasa pertumbuhan tersebut. Oleh itu para ibu ambil peluang ini dengan mengalunkan ayat-ayat al-quran, bercakap-cakap dalam bentuk nasihat, bercakap perkara yang baik, mendengar motivasi dan ceramah agar ia tersemai di dalam minda kandungan kita. Biasakan bercakap-cakap dengan kandungan anda...

Pembacaan itu penting

Ibu-ibu perlu membeli buku-buku persedian semasa mengandung dan selepas melahirkan terutamanya bagi menanti kelahiran anak yang pertama. Ini kerana, tiada pengalaman dan ilmu yang kurang membuatkan pembacaan itu sangat penting. Melalui pembacaan, secara tidak lansung para ibu akan mendapat gambaran tentang cara dan penjagaan anak-anak sebelum, semasa dan selepas bersalin.

Jangan merasa malu untuk bertanya dari orang yang-orang yang berpengalaman untuk mendapatkan tips-tips yang berguna untuk diaplikasikan. Contohnya bertanya tentang cara melahirkan, cara berpantang, kaedah penjagaan diri semasa mengandung dan segala pantang larang.Tetapi perlu diingat, tidak semua perkara perlu kita amalkan kerana tidak semua cara sesuai dengan syariat yang digariskan oleh islam.

Pemakanan semasa mengandung

Pemakanan satu-satunya memberi pengaruh besar dalam kandungan. penambahan untuk berdua bukanlah menambahkan jumlah makanan. tetapi, pertambahan nilai pemakanan dalam makanan itu iaitu zat makanan dan makanan yang sihat.

Semasa hamil, berat badan akan semakin bertambah dalam lingkungan 9 kg pada minggu-minggu yang terakhir. oleh itu, ibu hamil hendaklah mengatur pemakanan seharian. seandainya pemakanan yang tidak seimbang diamalkan, ia akan memudaratkan si ibu dan kandungan seperti naik jerawat pada wajah dan badan. Manakala bagi kandungan ia akan merencatkan pertumbuhannya. Makanan yang harus diutamakan ialah protein seperti daging, ikan, telur dan kekacang. Penting juga makanan yang mengandungi vitamin dan mineral seperti sayuran dan buahan. Jangan lupa amalkan minum susu setiap hari seperti susu Anmum untuk pembentukan tulang dan gigi bayi. Jika kandungan tidak mendapat kalsium yang cukup, dia akan memperolehi kalsium dari tulang ibunya.

Persediaan menghadapi kelahiran

Semasa kandungan usia 8-9 bulan, para ibu perlu membuat persedian barang kelengkapan untuk bayi dan ibu semasa bersalin nanti. Barang kelengkapan tersebut perlu di masukkan dalam beg khas untuk di bawa kemana-mana nanti. Antara senarai kelengkapan yang perlu disediakan adalah:

1) Lampin

2) Pakaian bayi

3) Lampin pakai buang

4) Stoking dan sarung tangan bayi

5) Bedak bayi

6) Minyak panas ( minyak telon)

7) Lotion bayi

8) Tisu basah

9) Putik kapas

Manakala keperluan ibu pula adalah;

1) Tuala wanita

2) Kain batik

3) Baju lengan panjang

4) Stoking

5) Perlatan mandi

Penutup

Bersedialah dari sekarang dan banyakkan berdoa. Teruskan membaca al quran dan surah-surah pilihan seperti surah Maryam dan Lukman agar anak terdidik dengan kalimah zikrullah dan terbentuk menjadi anak yang soleh dan solehah.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Pengenalan


bismillahirohmanirrahim..
in the name of Allah da most Gracious and da most Merciful..

alhamdulillah.. setelah sekian lama keinginan utk membuat blog kesampaian juga. Alhamdulillah.. syukur tak terkira kepada Allah swt masih lagi memberi kesempatan padaku. Tintaku di blog ini lebih banyak kepada luahan hati dan perkongsian untuk akhwat2 di luar sana. sekadar memanfaatkan jaringan internet dan penulisan sebagai salah satu sumber utk berdakwah di alam maya ini di samping di alam nyata. InsyaAllah.

" SHARING IS CARING"